no comments

6 Tips Menghadapi Rintangan Bergelar Doktor Falsafah

Nota Editor : Artikel ini dipetik daripada Dr. Muhammad Aizzat di dalam penulisan beliau mengenai dugaan dan cabaran beliau ketika menyambung pelajaran di peringkat PhD. Diharap dengan perkongsiaan ini dapat menyuntik semangat dan memberi manfaat kepada anda yang henhdak menyambung pelajaran di tahap Doktor Falsafah.

Tips 1: Buat perancangan masa penyelidikan anda pada hari pertama anda menjadi pelajar PhD.

Antara kesilapan ramai orang adalah pada tahun pertama pengajian mereka mengambil mudah perancangan timeline ini. Tahun pertama adalah tahun yang kritikal untuk perjalanan penyelidikan anda. Apa yang perlu anda lakukan :

  • Ambil pen dan kertas, buat perancangan atau topik yang anda akan teliti selama 3 tahun.
  • Waktu belajar anda perlu spesifik, seperti apa sumbangan kajian anda, berapa lama masa anda perlukan.
  • Buat perbincangan dengan supervisor anda kerana supervisor anda lebih pakar di dalam bidang tersebut. Anda yang baru bermula mungkin tidak nampak secara jelas sumbangan akademik PhD anda. Di sini, komunikasi yang jelas dengan supervisor anda sangat diperlukan.
  • Antara soalan yang perlu anda tanya kepada supervisor anda, “Apa perkara asas di dalam bidang saya yang perlu saya kuasai?”, “boleh tuan cadangkan buku, jurnal atau paper yang boleh saya baca untuk saya biasakan diri dalam bidang saya ini”.

Soalan nampak ringkas, namun sebenarnya ia membawa impak yang besar kepada anda yang baru bermula. Fungsi supervisor anda adalah supaya anda tersesat di dalam pelayaran PhD anda. Jadi, anda kena dapatkan nasihat daripadanya sebanyak yang mungkin. Ia juga menunjukkan komitmen anda terhadap kajian anda kepada supervisor dan mewujudkan pandang pertama yang baik kepada supervisor yang akan membawa banyak kebaikan.

Tips 2: Kekalkan hubungan yang baik dengan supervisor anda

Menyambung pengajian peringkat Phd diibaratkan sebagai anda dan supervisor anda akan menjadi pasangan yang akrab. Segala hala tuju pengajian anda adalah atas dasar persetujuan anda dan supervisor anda. Di sini pentingnya hubungan baik dengan supervisor. Hubungan yang keruh dengan supervisor hanya akan menyukarkan proses pengajian anda. Sebaiknya, cuba menjaga hati supervisor anda walaupun terdapat beberapa perkara yang anda tidak bersetuju dengannya. Di sini pentingnya kemahiran soft skills di mana anda dan supervisor perlu berbincang untuk mendapatkan kata putus terhadap sesuatu perkara. Jikalau supervisor senang terhadap anda, mereka tidak akan segan silu menghulurkan pertolongan kepada anda jikalau anda di dalam kesusahan atau pun nampak jalan buntu semasa sesi kajian anda berjalan. Saya boleh katakan, hubungan yang baik dengan supervisor anda akan menghasilkan output perbincangan yang baik sekaligus memudahkan proses kajian anda.

Tips 3: Anda perlu bersedia untuk berkorban banyak perkara:

  • Perubahan Masa

Pengalaman saya sendiri, saya banyak menghabiskan masa di makmal sehingga larut malam untuk membuat kajian penyelidikan saya. Ada masanya jika perlu, saya terpaksa datang pada hujung minggu. Keletihannya amat terasa, anda pulang malam dalam keadaan yang sangat letih. Anda hanya memikirkan tilam sahaja sewaktu itu. Rumah anda menjadi tidak terurus kerana fikiran anda sentiasa runsing masalah kajian anda.

  • Wang Ringgit

Dari segi wang ringgit pula, jika dahulu anda pernah bekerja. Anda mungkin akan terasa bebannya apabila biasiswa yang anda dapat tidaklah sebanyak gaji anda dahulu. Anda mungkin terpaksa berhutang untuk makan dan membayar sewa rumah. Dipandang rendah oleh orang ramai seolah-olah anda tidak mempunyai kerjaya dan tidak habis-habis belajar. Makcik di kampung pula sibuk membandingkan anda dengan anaknya yang sebaya dengan anda dan sudah berkerja. Boleh beli kereta mewah, tapi anda masih hidup cara orang miskin.

  • Waktu Bersama Keluarga

Masa anda bersama keluarga, anak-anak, ibu bapa anda akan berkurangan. Berdasarkan pengalaman saya, walaupun sesibuk mana kita jangan sesekali mengabaikan orang yang rapat dengan kita seperti isteri dan ibu bapa. Mereka inilah yang sebenarnya banyak mendoakan kita dan menyebabkan segala urusan kita ini dimudahkan. Orang lain biasanya hanya akan nampak kita apabila kita sudah berjaya. Namun, mereka yang kita sayanglah akan bersama-sama dengan kita semasa kita senang dan susah. Pendek kata, hargailah mereka jika tidak anda akan menyesal.

Tips 4: Hasilkan penerbitan seawal yang boleh

Antara syarat mendapat Phd adalah anda perlu menghasilkan penerbitan jurnal dan konferen. Ini tips yang saya boleh berikan. Anda perlu set matlamat seperti berikut :

Tahun 1: Hasilkan 2 kertas konferen
Tahun 2: Hasilkan 1 kertas konferen dan 1 jurnal
Tahun 3: Hasilkan 1 jurnal

Kenapa perlu ada jurnal? Kerana jurnal impak faktor merupakan tiket awal untuk mendapatkan Phd. Apabila anda sudah ada jurnal, hati anda akan jadi lebih tenang melakukan kajian kerana satu syarat untuk Phd sudah tercapai. Anda hanya perlu fokus kepada sumbangan Phd anda sehingga tahun akhir pengajian anda.

Tips 5 : PhD anda hanyalah selama 2 tahun 6 bulan, bukannya 3 tahun

Untuk mendapatkan GOT (graduate on time), anda perlu menghabiskan kajian anda selama 2 tahun 6 bulan sahaja. Bukannya 3 tahun. 6 bulan terakhir digunakan untuk fokus sepenuhnya kepada penulisan tesis sahaja. Penulisan tesis pula perlu bermula seawal yang mungkin.

Saya mula menulis tesis pada awal tahun 3. Jadi, saya memerlukan selama 1 tahun untuk menghabiskan penulisan tesis saya termasuk beberapa suntingan tesis (saya rasa lebih dari 20 kali suntingan). Saya juga agak menyesal kerana saya tidak memulakan penulisan tesis saya lebih awal.

Menulis tesis bukannya kerja yang mudah, anda perlukan banyak masa dan melakukannya dengan tenang untuk mendapatkan ilham. Selain itu, tesis anda perlulah melalui suntingan dan proof read untuk memastikan tesis anda benar-benar mencapai piawaian tesis peringkat Phd. Mulalah menulis tesis seawal yang mungkin.

Tips 6 : Hadkan limit anda dan belajar berhenti

Apabila melakukan kajian, sifat ingin tahu anda terhadap sesuatu perkara akan membuak-buak. Anda rasakan setiap elemen di dalam kajian anda perlu diketahui sebabnya. Sehinggakan anda tidak tahu berhenti dan merasakan kajian anda belum lengkap walaupun sudah lebih 3 tahun anda melakukan kajian anda. Anda akan berasa tidak yakin dengan kajian anda dan berasakan hasil kajian anda masih belum cukup. Nasihat saya, tahu had anda. Dapatkan nasihat supervisor, dan ingatlah tesis anda tidak perlu 100% sempurna. Anda juga manusia biasa yang tidak terlepas dari salah. Belajar berhenti, buat yang terbaik dan selebihnya serahkan urusan kepada Allah.

Contoh 2 kes yang berbeza dan menghasilkan 2 output berbeza :

Kes 1 : Harun menghantar tesis pada tahun ketiga pengajian, namun beliau diberikan pembetulan selama setahun selepas viva kerana hasil kajiannya masih belum cukup.

Kes 2 : Ahmad pula menghantar tesis pada tahun keempat pengajian kerana merasakan tesis beliau masih banyak perlu ditambah dan tidak cukup. Beliau banyak menghabiskan masa membuat kajian dan tidak menulis.

Bagi kes 1, Harun sudah menghantar tesis dan beliau tahu apa perlu selepas diberi komen oleh panel pemeriksa. Jadi, Beliau sudah tahu apa kekurangan di dalam tesisnya.

Bagi kes 2 pula, Ahmad pula masih terkial-kial merasakan diri tidak cukup. Beliau hanya boleh menghantar tesis pada tahun keempat. Namun, pada jangka masa yang sama dengan Harun, Ahmad masih tidak tahu bagaimana keinginan panel pemeriksanya. Berpuas hati atau tidak. Jikalau panel pemeriksa mahukan 1 tahun pembetulan, masa yang diambil Ahmad lebih lama dari Harun. Nampak kan perbezaan keduanya?

Kesimpulan

Sebenarnya, banyak lagi boleh saya kongsikan. Namun, kerana kekangan masa saya cuba senaraikan beberapa perkara penting dahulu. Saya simpulkan seperti berikut :

  • Hasilkan jurnal seawal yang mungkin.
  • Penat lelahlah kerana Phd anda, kerana anda akan dapat rasa manisnya kemudian. Dan ia amat berbaloi!
  • Ingat, Phd hanya selama 2 tahun 6 bulan. Selebihnya adalah masa menulis tesis.
  • Tahu masa yang sesuai untuk berhenti kajian anda.
  • Buat yang terbaik, kemudian tawakalah kepada Allah. Tuhan yang memberi rezeki.

Sumber : Dr Muhammad Izaat.

KOMEN ANDA

Tiada Respon

Komen

TENTANG KAMI | PENAFIAN | HUBUNGI | HANTAR ARTIKEL