1 comments

Masam Manis Dalaman Dan Luaran Sepanjang Perjalanan PhD

Nota Editor: Artikel ini telah dikongsikan oleh Prof. Madya Dr. Mohd Halim Kadri, pensyarah dari UiTM Johor mengenai masam manis perjalanan PhD yang dilalui oleh beliau sendiri sepanjang melengkapi perjalanan PhD.

Dalam masakan, perlu ada manis, masin, masam dan pelbagai rasa lagi untuk menjadikan makanan itu sedap. Contoh yang paling mudah ialah masakan tomyam. Ada masam, masin, manis dan pedas. Begitu juga dengan pengajian PhD, begitu banyak yang manis. Masamnya hanya menjadi pelengkap kepada pengajian saya. Ini semua saya anggap sebagai satu cabaran.

Sebahagian besar daripada cabaran dalam pengajian PhD adalah bersifat dalaman. Ianya berkaitan dengan sikap kita terhadap pengajian yang sedang kita lalui. Tempoh tiga tahun boleh jadi begitu panjang bagi seseorang. Manakala bagi yang lain ia satu tempoh yang singkat. Jadi, jangan lupa tujuan kita iaitu menuntut ilmu PhD dan seboleh-bolehnya tamat dalam tempoh tiga tahun. Jangan buat kerja sampingan seperti mengajar part-time yang boleh mengganggu tumpuan kita dalam pengajian. Sekurang-kurangnya lakukan seperti kita kerja di pejabat 8.00 – 5.00. Tetapi bercakap memang suatu perkara yang amat mudah. Jadi saya selalu diingatkan oleh isteri saya supaya ke pejabat atau ke perpustakaan untuk buat kerja-kerja PhD.

Dan ada juga cabaran yang bersifat luaran yang kita memang tiada kuasa untuk mengawal iaitu reaksi dan persepsi orang lain terhadap kita. Beberapa peristiwa boleh diceritakan di sini. Seorang kakak saudara bertanya:
“Lim, susah ke buat PhD ni? Akak tengok macam senang je. Baca-baca kemudian tulis. Baca lagi dan tulis. Lepas tu boleh hantar. Akak pun buat project paper masa sambung belajar dulu”.

Perlukah saya menjawab? Saya hanya tersenyum sahaja. Hakikatnya PhD itu satu proses.  Dan sudah submit barangkali perlu tunggu tiga bulan sebelum viva untuk membolehkan pemeriksa membaca tesis tersebut. Selepas viva memerlukan jangka masa yang lebih-kurang sama juga untuk membuat pembetulan dan seterusnya menyediakan hard-bound copy. Dari tarikh hantar hingga ke tarikh konvokesyen boleh mengambil masa hingga setahun atau lebih.

Ada juga sekali, seorang pensyarah pelawat memarahi saya apabila saya tunjukkan proposal saya kepadanya. Katanya saya tidak memahami maksud sebuah artikel yang saya gunakan sebagai rujukan. Ia menyebabkan saya menggugurkan artikel tersebut daripada proposal saya. Namun akhirnya saya masukkan semula ke dalam tesis setelah saya memahaminya.

Antara cabaran lain, saya dibenarkan mempertahankan proposal saya di fakulti pada awal semester ke dua. Tiga orang panel sedia menunggu saya masuk ke bilik pembentangan. Saya baru masuk ke bahagian objektif apabila saya disoal bertubi-tubi oleh salah seorang panel hingga sesi saya melebihi masa yang diperuntukkan. Apabila selesai pembentangan, keputusan keluar dan hasilnya – teruskan untuk membentang di IPSis tanpa pindaan.  Hanya Tuhan sahaja yang tahu di IPSis peristiwa yang hampir sama berlaku semula termasuk sesi yang melebihi masa yang ditetapkan. Keputusannya  lulus dengan pembetulan minor.

Progress pembentangan saya lalui sebanyak tiga kali iaitu di semester 3, 4 dan 5. Sesi begini memang mengecutkan perut sesiapa sahaja. Kenapa begini dan tidak begitu? Kenapa begitu dan tidak begini? So what? Itulah antara soalan-soalan yang lazim pembentangan begini. Dengan persediaan dan sedikit kesabaran, insyaAllah kita akan dapat mengharungi dengan baik.

Saya yakin bahawa iman itu sifatnya turun dan naik. Ia juga boleh lusuh sebagaimana lusuhnya pakaian. Apabila diri rasa agak jauh dari Allah, maka segeralah kita mendekatkan diri kepadaNya. Cuba untuk menghubungkan setiap perkara yang kita lakukan dengan Allah S.W.T. Pendek kata bila saja kita tersedar dari berfikir, mengelamun atau berkhayal segeralah mengingati Allah dengan menyebut namaNya dan sentiasa memohon do’a kepadaNya walaupun untuk mendapatkan perkara-perkara yang kecil. Banyak kali berlaku, saya memohon kepada Allah supaya dilapangkan perjalanan saya dan sampai pada tepat waktunya terutama bila ada appointment. Banyak kali juga saya memohon supaya Allah beri saya parking di Dewan Sri Budiman ataupun di Budisiswa yang berhampiran dengan fakulti. Allahu Akhbar segala urusan di permudahkan oleh Allah swt. Hubungan dengan Allah kena diteruskan walaupun kita telah menamatkan PhD.

Akhir sekali, adakah PhD itu segala-galanya? Mungkin ada yang berfikir begitu. Bagi saya PhD hanyalah sebahagian dari kehidupan. Dia tidak boleh memiliki kita. Di situ ada hak-hak orang lain yang kita perlu tunaikan: isteri dan anak-anak; keluarga dan masyarakat sekeliling.

KOMEN ANDA

Satu Respon

  1. Ir Dino

Komen

TENTANG KAMI | PENAFIAN | HUBUNGI | HANTAR ARTIKEL