no comments

Persoalan Yang Bermain Difikiran Setiap Bakal Doktor Falsafah!

“Ilmu itu umpama ladang, maka berbanggalah kamu dengan ilmu. Dan jangan sampai kamu kehilangan ladang kebanggaan itu. Ketahuilah! Ilmu tidak akan dapat diperolehi oleh orang-orang yang hanya mementingkan makanan dan pakaian. Ilmu akan datang kepada orang-orang yang hidupnya sederhana. Tuntutlah ilmu sebanyak-banyak! Walaupun terpaksa berkorban dan menderita. Mungkin suatu hari nanti, bila engkau menghadari suatu majlis dan engkau yang memimpinnya, maka engkau akan menjadi kebanggaan majlis itu” – Imam Syafie

Apakah persiapan anda untuk menyambung pengajian di peringkat Master/PhD, terlupa nak tanya kenapa anda nak sambung belajar buat Master/PhD? Soalan ini mudah untuk dijawab, tetapi cuba kita fikir baik-baik kenapa?

  1. Adakah selepas berkali-kali minta kerja, semua tidak dapat, kemudian kita buat keputusan nak buat Master/PhD?
  2. Adakah kerana tempat kerja kita (Universiti, Pusat Penyelidikan, Jabatan etc.) suruh anda sambung pengajian Master/PhD, terpaksalah ikut arahan orang atasan (Boss)?
  3. Adakah kerana kita ingin lari dari beban tugas sekarang yang banyak, sudah bosan dengan kerja sekarang, kemudian memohon cuti belajar?
  4. Adakah disebabkan malu apabila semua kawan/ahli keluarga kita ada MD/Master/PhD dan kita ambil keputusan hendak mengikut jejak mereka?

Kalau jawapannya “Ya”, lebih baik tidak perlu buat atau berhenti Master/PhD sebelum terlambat. Tidak perlu, cukuplah menyusahkan diri sendiri, keluarga, penaja termasuk juga penyelia anda sendiri.

Kalau anda kata “Ye! aku memang nak sambung belajar buat Master/PhD dari masa tadika pun dah cakap kat cikgu nak buat PhD!”.  tetapi tunggu dulu, cuba jawab soalan-soalan bersifat akademik ini:

  1. Tahukah kita menyesuaikan diri berdepan dengan kawan-kawan kita yang semuanya berijazah 1st Class, otaknya hybrid, ketelitiannya nano, rajinnya seperti semut dan bahasa inggeris nya macam Shakespeare? Sedangkan kita dapat tawaran membuat Master/PhD setelah dua kali rayuan kepada Dekan?
  2. Mampukah kita bertahan selama 3++ tahun, hari-hari dimarah oleh penyelia kerana kebodohan/kesilapan kita? Ya memang kita akui kita banyak kekurangan, tetapi berilah sedikit peluang.
  3. Tidak terasakah kita bila penyelia kata “awaklah pelajar paling bodoh pernah aku jumpa”? Tetapi esok terpaksa datang lagi ke biliknya.
  4. Pernahkah kita terketar-ketar melihat data kita tidak menjadi? Sedangkan kawan kita telah siap menulis kertas jurnal keduanya.
  5. Cantikkah kertas jurnal kita yang dihantar kepada penyelia untuk semakan, tetapi diconteng-conteng (diubahsuai) oleh penyelia dengan tulisan pen merahnya melebihi apa yang kita tulis? Sedangkan kawan kita telah bersedia menyerahkan tesis dengan 4 kertas jurnal yang semuanya berkualiti 10% teratas dalam bidang-bidang yang dikategorikan oleh ISI.
  6. Tidak kecewa kita untuk terbit kertas jurnal pertama dalam hidup walaupun impak faktornya 0.200 sahaja, tetapi setiap penilai (reviewer) menembak bertubi-tubi dengan sniper rifle sambil mengejek-ejek kerja-kerja kita? Sedangkan kertas2 jurnal dalam jurnal tersebut entah apa-apa datanya.
  7. Marahkah kita apabila projek perintis rekaan kita menjadi, tetapi diberikan projek ini kepada pelajar lain? Sedangkan kita sudah setahun tidak cukup tidur, tidak sempat main futsal kerana tiada masa. Memikir projek yang penyelia sendiri tidak tahu, tidak peduli pada awalnya.

Dan sila jawab soalan sifat-sifat kemanusiaan atau teknikal seperti ini?

  1. Sanggupkah kita berkorban tidak makan sarapan ke makan tengahari dan makan tengahari dibawa ke makan malam? Sebab ketiadaan duit. Berjimat kerana terpaksa membayar kost pengajian sendiri.
  2. Bertahankah kita berada/tidur dalam makmal membuat kerja kuli penyelia (laporan geran, marking tutorial, marking laporan makmal, persiapan persidangan etc) sedangkan pelajar lain tidak disuruhnya?
  3. Tidak tergugatkah nilai-nilai murni dan kemanusiaan kita, apabila pelajar lain menabur fitnah, tikam belakang, membaja racun di pingiran ladang ilmu kepada penyelia kita? Mereka sentiasa memukul gendang silat, memainkan irama persengketaan dengan pelajar-pelajar lain.
  4. Bolehkah kita bertimbang rasa dalam perebutan alat-alat di makmal, apabila tempahan kita dipotong/dipadam oleh kawan kita sendiri? Sedangkan kita terpaksa berulang-alik ke hospital kerana ada keluarga tersayang sangat memerlukan kehadiran kita disisinya.
  5. Bersabarkah kita dengan kerenah pembantu makmal yang sentiasa ‘hilang’, terlalu berkira? Tetapi bila ada sampel perundingan (consultation) atau berurusan dengan pelajar perempuan, dahi licin, cantik, menggoda hari itu juga disiapkan semua sampelnya.
  6. Gembirakah kita apabila selalu mendapat penyelia yang bermasalah (termasuk masalah peribadi… nak cukupkan 4, 3 dah dapat!) dibawanya hingga ke dalam makmal? Sedangkan penyelia lain sedang bersiap untuk membawa semua pelajarnya pergi ke persidangan (dan jalan-jalan) di Vancouver.
  7. Pandaikah kita memberi alasan demi alasan kepada kawan-kawan kita yang sudah berkerja, bahawa kita tidak boleh datang perjumpaan alumni? Kita malu pergi naik Honda Cup, sedangkan mereka datang dengan Honda CRV. Pakaian mereka hebat-hebat, jika dibandingkan dengan kita pakai T-shirt Liverpool dibeli dekat sempadan Siam.
  8. Terharukan kita apabila mendapat e-mail (time tu FB tiada lagi) dari kawan yang sudah berkerja menunjukkan gambar-gambarnya di ambil di Stadium Old Trafford? Sedangkan kita hanya tahu Kg Kerinchi dan Hentian Bas Putra (tempat yang berhampiran kampus) sahaja.

Jika anda seorang yang tabah, cekal, bersabar, tidak ego, anda sanggup melepasi setiap persoalan, rintangan cabaran, dugaan di dalam menyambung pengajian Master/PhD anda, Ayuh mulakan langkah kanan pertama anda untuk mengejar kejayaan di peringkat 1st Class!

KOMEN ANDA

Komen

TENTANG KAMI | PENAFIAN | HUBUNGI | HANTAR ARTIKEL