no comments

8 Nasihat Sebelum Menghadapi Viva Voce

Nota Editor: Nasihat ini adalah berdasarkan pengalaman seorang pelajar Master, iaitu Nur Nabila semasa beliau menghadapi viva voce Master pada tarikh 9 Januari 2015. Beliau kongsikan pengalaman ini di blognya dan kami kongsikan kepada anda semua dengan izin beliau. Semoga nasihat ini sedikit sebanyak memberikan manfaat kepada anda semua!student-using-powerpoint

Salam Jumaat.

Hari ni kami ingin menceritakan kepada anda mengenai pengalaman viva seorang wanita bernama Nur Nabila.

Tarikh keramat viva voce saya adalah pada 9 Januari 2015. Sebelum itu, pada awal bulan 6 saya telah cuba memohon untuk menangguh pengajian atas beberapa sebab, tetapi tidak mendapat sokongan dekan. Dekan meminta saya mencuba juga untuk menghantar tesis pada bulan 9, iaitu pada bulan saya perlu melapor diri di JPbSM. Saya menghantar tesis pada 12 September 2014. Berdasarkan pengalaman dari senior-senior, tempoh untuk viva selepas menghantar tesis memakan masa yang agak lama. Dua orang pelajar senior dipanggil untuk viva selepas setahun tesis dihantar. Lama bukan? tetapi saya dimaklumkan untuk pembentangan viva pada hujung bulan 12, bermakna saya perlu menunggu dalam tempoh 3 bulan lebih. Boleh dikatakan tempoh itu agak cepat, mungkin pihak pengurusan sudah improvise.

Pada akhir bulan 12, saya menerima e-mel dipanggil untuk pembentangan viva voce yang akan dijalankan pada 9 Januari 2015. Alhamdulillah, saya amat bersyukur kerana Allah telah menggerakkan hati untuk memeriksa e-mel spam, kerana surat panggilan viva saya ada di bahagian spam e-mel. Selama ini saya tidak pernah membuka e-mel di bahagian spam. Dalam tempoh 2 minggu sebelum viva, saya memang membaca semula tesis berulang-kali sampai hadam. Memeriksa semula rujukan. Membaca semula Literature Riview yang berkaitan. Saya cuba fikirkan soalan yang mungkin ditanya oleh panel, dan sediakan jawapan. Slide pembentangan memang sudah lama saya siapkan. Setiap hari saya berlatih viva di hadapan suami. Setiap hari saya memeriksa slide.

Pada hari viva, saya sangat gementar sehingga hilang selera makan. Saya terlalu memikirkan anak-anak, bagaimana sekiranya saya gagal viva kali ini, dan juga kasihan pada suami, sudah banyak dia berkorban, mengambil cuti demi menyelesaikan kerja saya. Menemani saya untuk menyiapkan tesis, mencetak tesis, dan menemani saya ke viva. Jadi waktu itu memang semangat untuk buat yang terbaik dan panel dalaman merupakan panel sewaktu saya temuduga untuk biasiswa dan juga sewaktu defense proposal. Panel luar pula ialah dari uniten. Viva saya bermula pada jam 9.47 pagi. saya diberi masa lebih kurang 15 hingga 20 minit untuk pembentangan.

Selepas pembentangan, sesi soal jawab. Alhamdulillah, Allah beri kekuatan untuk saya menjawab soalan yang diajukan dengan tenang, dan tidak gementar, dan tidak dinafikan ada juga jawapan yang kurang tepat, tetapi saya tetap menjawab. Apabila diberi cadangan, saya hanya mengiyakan sahaja. Panel dalaman tidak banyak bertanya, mungkin kerana beliau sudah mengetahui bahawa saya menjalankan kajian mengenai apa kerana sewaktu defense proposal duhulu beliau yang menjadi panel. Panel luaran yang banyak mengajukan soalan, dan beliau memeriksa bahagian Literature Riview secara terperinci. Panel juga memeriksa tesis, dan banyak ditumpukan pada bahagian metodologi dan results. Sementara dibahagian lain mereka kurang memberikan komen.

Tidak lama selepas itu, pengerusi memberitahu bahawa sesi soal jawab sudah tamat dan saya diminta keluar sebentar untuk mereka berbincang. Saya melihat jam pada masa itu menunjukkan pukul 10.45 pagi, terasa cepat masa berlalu. Sebelum ini saya mendengar orang cerita bahawa sesi viva memakan masa agak lama sehingga kadang-kadang memakan masa selama 6 jam. Dalam 10 hingga 15 minit selepas itu, pengerusi memanggil saya masuk ke balik dan mengumumkan bahawa saya telah lulus viva dengan pembetulan minor. Alhamdulillah, Allah sebaik-baik penolong. Sewaktu itu bergenang air mata saya. Memikirkan anak, ingin pulang dan memeluk dia. Alhamdulillah.

Sebenarnya, pada pendapat saya, apa yang penting untuk menghadapi viva ini adalah:

Pertama:
Kena faham betul-betul apa yang dibuat. Apa yang ditulis dalam tesis itu adalah apa yang anda tahu. Sekiranya tidak tahu, anda dinasihatkan jangan tulis dalam tesis. Soalan dari panel kebanyakannya disebabkan mereka ingin tahu sama ada betul atau tidak anda yang buat semua projek itu, dan bukan orang lain.

Kedua:
Adalah sangat digalakkan untuk membaca tesis berulang-kali supaya anda faham dan tidak lupa apa yang anda sudah buat.

Ketiga:
Kadang-kadang, apabila anda sedang membaca tesis itu, baru anda perasan, “eh kenapa aku buat macam ni? Kenapa tak buat macam tu?”. Waktu itu anda sudah boleh berfikir sekiranya panel bertanya kenapa tidak buat seperti itu, serta merta anda sudah boleh sediakan jawapan kepada soalan seperti itu.

Keempat:
Sewaktu pembentangan, jangan menceritakan apa yang anda tidak buat. Konon nya anda ingin menunjukkan anda hebat, kerana nanti sekiranya panel bertanya mengapa tidak buat, dan menyuruh anda buat perkara tersebut, proses untuk menyiapkan pembetulan selepas viva pasti akan memakan masa yang agak lama.

Kelima:
Sediakan soalan spot yang anda fikirkan mungkin akan ditanya dan cuba sediakan jawapan untuk setiap soalan tersebut.

Keenam:
Hafal slide pembentangan sehingga anda rasa muak.

Ketujuh:
Jangan takut melakukan kesilapan. Semestinya, tidak ada satu pun perkara dalam dunia ini yang sempurna 100 peratus. Begitu juga dengan kajian anda.

Kelapan:
Akhir sekali dan yang paling penting, doa doa doa dan terus berdoa semoga Allah permudahkan segala urusan anda.

Itulah serba sedikit tips dari Puan Nur Nabila untuk menghadapi viva. Walau apa pun cabaran dan dugaan sepanjang anda belajar, semua itu ada hikmahnya yang mungkin anda tidak tahu. Hanya Allah yang mengetahui dan sesungguhnya Dia Maha Mengetahui. Kita sebagai hambaNya yang akur, hendaklah sentiasa sabar dan bersyukur.

KOMEN ANDA

Tiada Respon

Komen

TENTANG KAMI | PENAFIAN | HUBUNGI | HANTAR ARTIKEL