no comments

Perjalanan Sebagai Seorang Doktor Falsafah

Sudah tiga kali beliau mengelilingi Bulatan Bistari berhampiran Seksyen 2, Shah Alam, Selangor. Dr. Siti Zabedah Mohd. Shariff, yang berumur 53, seolah-olah sukar untuk menentukan arah yang hendak dituju. Semuanya menjadi serba tidak kena memandangkan di fikirannya hanya memikirkan kata-kata penasihat yang memintanya membaiki dan mempertingkatkan tesis Ph.Dnya.

Pada waktu itu Siti Zabedah mula resah dan kecewa. Pening memikirkan kaedah dan informasi tambahan yang diperlukan untuk memantapkan tesis berkenaan. Apatah lagi tempoh tamat pengajian semakin hampir sedangkan beliau baru sahaja memulakan bab lima tesisnya.

“Proses pembelajaran di peringkat doktor falsafah (Ph.D) cukup memenatkan dan memeritkan. Sebelum ini saya pernah mendengar keluhan bahawa proses pengajian Ph.D cukup jauh berbeza dengan diploma, ijazah mahupun sarjana. Namun semangat yang berkobar-kobar untuk belajar saya tidak mengendahkan keluhan tersebut.

“Sebaliknya saya berazam untuk menempuh apa saja rintangan yang datang. Namun keazaman itu goyah seketika sebaik sahaja memasuki tahun kelima pengajian. Kesabaran saya diuji. Semakin hampir ke garisan penamat semakin kuat cabaran yang datang,” imbas Siti Zabedah yang baru sahaja menerima anugerah Ijazah Doktor Falsafah Sebaran Am, pada Istiadat Konvokesyen ke-71, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.

Sebagai pensyarah kanan jurusan kewartawanan, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media ini sudah mampu tersenyum. Pergelutan selama enam tahun melunaskan tesisnya membuahkan hasil.

Perjalanan

Namun dalam membiasakan diri dengan gelaran doktor falsafah, Siti Zabedah masih sukar melupakan keperitan yang dihadapi sepanjang proses pengajiannya.

Laporan tesis yang disusun rapi di atas rak buku sentiasa mengingatkan Siti Zabedah betapa payahnya untuk sampai ke tahap ini. Jelas bekas pelajar Sekolah Menengah Convent Muar, Johor itu proses pembelajaran peringkat Ph.D diibaratkan sebuah perjalanan persendirian. Segala-galanya perlu dilakukan sendiri tanpa bantuan teman mahupun orang sekeliling.

Dia menyifatkan ketika bergelar calon Ph.D, Siti Zabedah bagaikan berada di tengah-tengah antara peranan seorang pensyarah, keluarga, anak dan teman. Pada situasi tersebut semua aspek perlu diuruskan secara serentak tanpa membiarkan ada yang tercicir.”

“Saya perlu bijak menguruskan masa. Setiap detik yang berlalu begitu berharga dan saya tidak pernah sia-siakan. Sebab itu selama tempoh pengajian, kehidupan saya bermula seawal pukul 4 pagi. Celik saja mata saya terus menuju ke komputer untuk menyiapkan laporan tesis. Idea-idea pada waktu pagi mencurah-curah memandangkan fikiran kita segar pada waktu itu.”

“Tepat saja pada pukul 5.30 pagi saya menguruskan hal rumah tangga seperti mengemas rumah, membasuh baju dan paling utama memasak sarapan pagi dan hidangan tengah hari. Ini kerana selain suami dan anak-anak saya turut menjaga dan menguruskan kebajikan ibu yang sudah berusia dan uzur,” jelas Siti Zabedah yang bergegas ke kuliah pada pukul 8 pagi dan tamat pukul 5 petang.”

Siti Zabedah yang pernah bertugas sebagai penyunting berita di Radio Televisyen Malaysia (RTM), selama 17 tahun seboleh-bolehnya menyiapkan segala keperluan untuk dibawa ke kuliah. Bermula daripada bahan-bahan pengajaran, tugasan atau soalan kuiz, Siti Zabedah mahu sempurnakan segala-galanya secepat mungkin.

Penulisan akademik

Ini kerana waktu di rumah hanya diperuntukkan untuk keluarga dan sebahagian besar menyiapkan laporan tesisnya.

Dalam pada itu, dia sentiasa berusaha mencuri masa ke perpustakaan mencari buku dan jurnal untuk dibuat rujukan. Sehinggakan pada hujung minggu Siti Zabedah perlu mengorbankan waktu santainya dengan mengunjungi stesen televisyen yang menjadi bahan kajian tesisnya.

ru_01.2

SITI ZABEDAH mengambil masa selama enam tahun untuk menghabiskan tesis Ph.Dnya.

Usahanya meneruskan pengajian bagi menyahut cabaran KPT yang menyasarkan sekurang-kurangnya 60 peratus pensyarah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di seluruh negara memiliki Ph.D menjelang 2020.

Namun sebelum menamatkan bicara, Siti Zabedah sempat melahirkan rasa tidak puas hati kepada individu yang tidak bertanggungjawab membeli dan menghadiri konvokesyen di universiti luar negara tanpa menjalani proses pengajian sebenar.

“Ia tidak adil bagi kami yang bersusah payah dalam segala aspek. Sanggup mengorbankan masa dan tenaga semata-mata untuk memegang segulung Ph.D. Tetapi individu yang memiliki kelulusan palsu ini sangat rugi kerana tidak mempunyai kepakaran menghasilkan kajian dan tesis,” katanya.

Sementara itu, graduan termuda Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang menerima Ph.D dalam Kejuruteraan Kimia, Sharifah Rafidah Wan Alwi, 28, dua tahun lalu turut melahirkan rasa kesal mengenai isu Ph.D palsu.

Pensyarah Kanan Bahagian Kejuruteraan Kimia, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor, itu berpendapat, ia adalah tindakan yang tidak patut dan mencemarkan gelaran doktor falsafah.

Sumber & Artikel Penuh: Kosmo!

KOMEN ANDA

Komen

TENTANG KAMI | PENAFIAN | HUBUNGI | HANTAR ARTIKEL