no comments

Lelaki Ini Kongsikan Rintangan Sepanjang Menempuh Pengembaraan PhD Beliau

Nota Editor: Artikel ini dipetik dari seorang rakan facebook iaitu Nisar Mohamad Ahmad berdasarkan kisah bagaimana menempuh kehidupan dan cabaran ke alam pengajian peringkat Doktor Falsafah (PhD).

11219439_10153685981899035_8233573158498835883_nMajlis Konvokesyen IIUM Ke-31 (7 September 2015)

KEMBARA PhD

Apabila diminta oleh beberapa sahabat untuk berkongsi pengalaman atau nasihat tentang pengajian PhD yang telah saya lalui, saya agak keberatan kerana saya bukan yang terbaik. Naif dan kerdil sekali rasanya untuk saya perkatakan tentang topik ini kerana di luar sana terlalu ramai yang jauh lebih hebat yang juga pernah lalui kembara PhD ini yang pastinya mempunyai 1001 pengalaman perit jerih yang berbeza-beza. Namun, kerana menyedari pengalaman ini bukan untuk disimpan tetapi untuk dikongsi kerana mungkin ada padanya sedikit sebanyak panduan dan tips yang mungkin berguna untuk pihak yang berkaitan, maka saya gagahkan juga untuk titipkan sesuatu di sini.

Saya menggelar kembara PhD ini sebagai sebuah ‘Universiti Kehidupan’ kerana di dalamnya sarat dengan pengajaran besar yang amat berguna buat bekalan meneruskan kehidupuan di hari depan. Kembara PhD mengajar erti sebuah kesabaran dan pengorbanan. Ia perjalanan yang bakal menitiskan banyak air mata. Siapa jua yang melalui kembara ini akan melalui pengalaman, liku-liku cabaran, dugaan dan skrip jalan cerita kembara yang unik dan berbeza-beza.

Tidak seperti semasa pengajian di peringkat Sarjana Muda di mana semua pelajar (dalam bidang yang sama) akan diajar silibus pengajian yang sama serta diberikan set soalan yang sama ketika menghadapi peperiksaan semester, pengajian PhD ternyata berbeza. Ia memerlukan seseorang calonnya untuk membuat kajian berkaitan tajuk yang spesifik yang tidak dibuat oleh orang lain dan dibimbing pula oleh penyelia yang berbeza-beza. Selain itu, untuk berjaya di peringkat Sarjana Muda, seseorang hanya perlu score di dalam peperiksaan semester dan memenuhi keperluan-keperluan yang lain seperti membuat assignment, kerja kursus dan latihan industri. Namun di dalam pengajian PhD, kejayaan sebenar adalah kejayaan dalam menghadapi ujian dan kesusahan yang tidak terhad dalam bentuk akademik semata, tetapi juga kejayaan dalam menempuhi ujian dalam realiti sebenar kehidupan!

Tidak keterlaluan juga untuk dikatakan tempoh untuk menamatkan pengajian PhD juga berbeza-beza bagi setiap yang melalui kembara ini. Meskipun tempoh biasa yang ditetapkan untuk program PhD secara sepenuh masa adalah 3-4 tahun, namun realitinya berbeza. Ada yang tamat sebelum tempoh tiga tahun, ada yang tamat selepas lima tahun, tujuh tahun hatta sepuluh tahun pun barangkali ada. Justeru, tidak ada suatu formula yang sempurna yang boleh digunakan oleh setiap calon PhD bagi menentukan tempoh yang bakal dilaluinya untuk menamatkan pengajiannya. Bukan kerana malas, bukan kurang perancangan dan bukan juga kerana tiada keyakinan dan usaha gigih. Jika malas atau tiada usaha gigih untuk buat kerja-kerja penyelidikan atau tidak ikut arahan penyelia itu lain ceritanya kerana ia memang menempah kegagalan.

12235095_10153691010394035_8355680772358421602_nBersama Penyelia Dr. Haniff Ahamat dan Dr. Halyani Hassan ketika Majlis Konvokesyen IIUM Ke-31

Namun jika semua proses dan prosedur telah diikuti ia masih belum 100% menjamin kejayaan. Ini kerana terlalu banyak faktor luar kawal di sepanjang perjalanan yang bisa membantutkan pergerakan. Tidak hairanlah jika ada yang mengatakan PhD sebagai “permanent head damage” kerana ia amat ‘memeningkan’ kepala. Pening kepala barangkali disebabkan penyelia yang meninggal atau berpindah diganti dengan penyelia yang kurang sesuai dengan bidang, penyelia yang terlalu ‘perfectionist’ yang tinggi ‘expectation’nya sehingga menyulitkan tumpuan dan sebagainya.

Ada juga yang menggelar PhD sebagai “permanent health damage” – kerana ia kadangkala dapat meningkatkan tekanan darah seseorang dan sebagainya. Ada yang diuji dengan penyakit kritikal, pasangan atau anak-anak meninggal atau dihidapi penyakit dan sebagainya. Malah, tidak kurang juga ada yang mengaitkannya dengan “permanent home damage” – kerana gara-garanya ada rumahtangga yang berantakan. Ada pelajar PhD yang pasangannya enggan mengikut sama menemaninya ketika menyambung pelajaran ke luar negara, ada isteri yang menyambung pengajian ke luar negara diiringi suami, tetapi pulang bersendirian kerana sang suami pulang lebih awal dek kerana sudah tidak sanggup menunggu si isteri menamatkan pengajian. Macam-macam cerita pahit, manis, suka dan duka. Setiap orang yang melaluinya ada kisah masing-masing.

Mungkin bukan secara langsung masalah di atas berlaku disebabkan PhD, tetapi keperitan dan susah payahnya sedikit sebanyak memberi kesan. Manakan tidaknya, apabila seseorang yang sudah berkeluarga melanjutkan pelajaran di peringkat PhD, seluruh ahli keluarganya secara langsung akan terheret sama dalam kemelut dan susah payah sepanjang pengajian. Justeru, menyambung pengajian ke peringkat PhD tidak memadai dengan ketinggian nilai intelektual semata, namun juga elemen-elemen lain seperti mental, fizikal dan spiritual. Bukan hanya calon PhD, tetapi pasangan mereka juga harus mempunyai nilai-nilai tersebut kerana mereka adalah insan paling hampir dan menjadi sumber kekuatan setiap calon PhD.

Apapun percayalah, sebaik anda mendaftar pengajian PhD dan seterusnya berusaha melaksanakan dan memenuhi keperluan-keperluan yang ditetapkan untuk mencapainya, ketentuan untuk berjaya itu sudah termaktub. Apabila anda melakukan semua yang ditetapkan, maka sudah selesai tanggungjawab anda manakala urusan selebihnya, yakni persoalan bila, di mana dan bagaimana kejayaan itu akan diperolehi adalah di dalam perancangan Allah. Kadangkala apa yang Allah tentukan kepada anda adalah 360’ berbeza dari perancangan asal anda yang anda tidak pernah terfikir atau jangkakan. Berserah dan pasrahlah kepadaNya setelah berusaha. Bersangka baik dengan apa jua ketentuanNya. Tiada ketentuanNya yang tidak baik, semuanya baik-baik belaka. Dia tidak akan menzalimi hambahambaNya yang berusaha dan berharap kepadaNya.

12208721_10153682687834035_8782739865361005492_n

Selain itu, mintalah orang lain seperti ibu bapa, mertua, keluarga dan sahabat handai untuk doakan anda kerana doa yang diuangkapkan terutamanya dari ibu bapa tiada hijabnya. Maka apabila dianugerahkan kejayaan memiliki PhD, janganlah pula hendaknya kita bersikap sombong dan angkuh kerana pangkat ‘Dr’ itu bukanlah suatu kebanggan tetapi tersemat padanya tanggungjawab dan amanah besar kepada masyarakat. Harus sentiasa diinsafi dan diingati, kita memperolehinya bukanlah kerana kehebatan atau ke’genius’an kita, tetapi kerana izin dan rahmat dariNya jua. Bahkan, semua yang kita miliki hari ini adalah milikNya jua.

Coretan ini barangkali banyak salah dan silapnya. Andai ada kesilapan saya mohon kemaafan. Namun apa yang diharapkan ia sedikit sebanyak dapat menjadi panduan kepada mereka yang sedang berkira-kira untuk melanjutkan pengajian ke peringkat PhD ini. Kepada mereka, selamat mengharungi kembara PhD saya ucapkan. Kepada yang sedang bergelut dengan PhD masing-masing, bertabah, bertahan dan bersabarlah dengan segala kesusahan, teruskan perjuangan serta jangan berputus asa kerana saat kemanisan kejayaan itu amat hampir dengan anda. Semoga Allah permudahkan urusan pengajian anda dan semoga ummah dan masyarakat akan beroleh banyak manfaat dengan kejayaan anda kelak.

Wassalam.

Semoga beroleh manfaat!

KOMEN ANDA

Komen

TENTANG KAMI | PENAFIAN | HUBUNGI | HANTAR ARTIKEL