Isu perkahwinan dalam kalangan mahasiswa dan mahasiswi menjadi satu perbincangan yang sentiasa ada pasang dan surutnya. Ibu bapa, penuntut dan masyarakat dewasa mempunyai pelbagai pandangan dan pendekatan dalam menghadapi permasalahan ini.

Terdapat banyak pandangan sinis terhadap mereka yang berkahwin ketika belajar seperti prestasi pelajarannya akan merosot kerana tidak dapat menguruskan masa dengan bijak hingga akhirnya kedua-dua pasangan tercicir dari universiti.

Namun ada juga perubahan positif bagi mereka yang berkahwin semasa belajar, pelajarannya meningkat dengan cemerlang, kehidupannya baik dan rezekinya melimpah-ruah. Malah mereka menjadi lebih bersemangat dalam melakukan tugasan berkaitan pelajaran kerana dapat melakukan tugasan tersebut bersama pasangan.

Ada yang selepas berkahwin, kekal seperti biasa, namun berubah menjadi lelaki yang lebih matang dan bertanggungjawab. Walaupun prestasi pelajaran tidaklah meningkat, tapi melihat kematangan dan sifat tanggungjawabnya yang semakin hebat di sebalik banyak dugaan yang melanda serta sifat tabah yang terbina selepas perkahwinan semasa belajar.

Ada juga yang selepas berkahwin, semakin ‘gedik’, lupa diri dan pasangan, hingga akhirnya rumah tangga yang baru dibina, berantakan jadinya. Walaupun ketika bercinta seperti belangkas, namun selepas berkahwin beberapa tahun, akhirnya bercerai talak tiga walaupun baru mempunyai anak kecil.

Sebab itu, bila kita memilih pasangan, pilih betul-betul kerana urusan pemilihan pasangan hidup adalah antara keputusan yang paling besar dalam hidup. Kalau tersalah beli laptop, penyesalannya mungkin hanya setahun dua, tapi kalau tersalah pilih pasangan, sesalnya kekal dalam jangka yang amat lama.

Sewajarnya masyarakat lebih terbuka dalam membincangkan isu pernikahan, kerana arus kehidupan terus berubah dari semasa ke semasa menyebabkan pemikiran dan tindakan golongan muda berbeza mengikut faktor persekitaran, latar belakang pendidikan dan ekonomi.

Namun apabila berkahwin, biarlah bercerai hanya dengan kematian. Seharusnya kita pastikan diri bersedia, pilihlah betul-betul calon pasangan, paling penting, sentiasa minta petunjuk dari Allah, banyakkan berbincang dan memohon nasihat dari orang-orang berpengalaman.

  • Restu Ibu Bapa 

pix_gal1_zps1fd7537a (1)

Mendirikan rumah tangga seawal usia 21 tahun bukanlah satu keputusan yang mampu dibuat oleh kebanyakan remaja.

Bagi penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM), Farah Hasunah Mohd. Radzi,23, berkahwin dengan Syammil Sazali,25, tidak sedikit pun mengganggu pelajarannya kerana dengan bantuan suaminya lebih memudahkan dia untuk menguruskan hal keluarga dan pelajaran.

Katanya, restu daripada kedua orang tua adalah perkara yang amat penting kerana tanpa keredaan mereka rumah tangga tidak akan bahagia.

“Sejujurnya bukanlah perkara mudah untuk saya menerangkan kepada mereka kerana perkahwinan bukanlah perkara yang boleh diambil mudah. Saya juga tidak berhenti berdoa supaya jodoh kami disegerakan agar mereka setuju dengan keputusan kami.

“Saya bersyukur kerana ibu bapa memberi kebenaran dan meletakkan sepenuh kepercayaan kepada suami untuk menjaga saya memandangkan usia yang agak muda untuk menempuh alam perkahwinan,” ujarnya yang sudah mendirikan rumah tangga hampir tiga tahun.

Menurut Farah, dia juga berjanji dengan kedua orang tuanya untuk belajar dengan bersungguh-sungguh kerana tidak mahu soal rumah tangga dijadikan alasan mengabaikan  pelajaran.

Berulang menaiki motosikal setiap hujung minggu antara pengorbanan yang dibuat bagi menjalani rutinnya sebagai seorang isteri.

Tambahnya, persefahaman antara suami isteri juga penting untuk mengekalkan hubungan kerana remaja kini mudah cepat melatah apabila sesuatu masalah menimpa mereka.

“Kami suami isteri lebih suka berbincang dari mendiamkan diri dan suami merupakan seorang yang amat tenang dalam menangani sebarang masalah yang dihadapi,”katanya.

  • Sedia Pikul Dua Tanggungjawab

responsibility1

Bagi penuntut Sarjana Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM), Nur Syaza Zakaria,25, persediaan dari segi fizikal dan mental amat penting bagi seseorang sepertinya untuk  memikul dua tanggungjawab sekaligus.

Dia yang berkahwin dengan seorang Juruteknik Elektrik, Tengku Mohd Shamin Tengku Shadan,24, mengakui berkahwin semasa belajar bukan perkara remeh kerana banyak perkara lain perlu dititikberatkan termasuk usaha menjaga hubungan mereka ekoran suaminya yang sering bertugas di luar kawasan.

“Walaupun kami jarang berjumpa, namun suami kerap menghubungi saya kerana terlalu risaukan keselamatan saya di tempat pengajian.

“Pada setiap hujung minggu pula saya akan pulang ke kampung halaman suami di Kuantan untuk bertemunya di sana. Selain mengurus rumah tangga, secara tidak langsung saya berpeluang menjalankan tanggungjawab menjaga kedua orang tua suami,”ujarnya yang sedang menuntut pengajian di Shah Alam.

Pengorbanan ikhlas yang dilakukan Syaza harus dijadikan contoh oleh remaja lain kerana sanggup berkorban masa dan tenaga demi pelajaran dan suami tersayang.

Menurut Syaza, dia turut akan membawa sekali tugasan universiti untuk disiapkan di kampung kerana dia bukanlah seorang yang suka menangguh kerja terutama hal  berkaitan pelajaran.

Ditanya mengenai hubungan mereka, Syaza berkata, bahawa perkenalan singkat selama enam bulan itu secara tidak langsung membawa mereka untuk membina bahtera perkahwinan walaupun statusnya masih sebagai seorang pelajar. Malah, ibu bapa kedua belah pihak langsung tidak menghalang mereka berkahwin di usia muda.

  • Tangani Kesan Kahwin Awal

71371636765_295x200

MENURUT Imam Muda Asyraf (gambar), perkahwinan ketika sedang belajar itu adalah sesuatu yang tidak perlu dipandang dari sudut negatif sahaja kerana tidak semua yang kahwin ketika belajar itu tidak baik dan tidak semua yang kahwin selepas belajar itu baik kerana ia bergantung kepada situasi seseorang itu.

Dalam memasuki gerbang perkahwinan, mereka perlu sedar bahawa banyak tanggungjawab yang perlu mereka pikul sama ada sebagai pelajar, suami atau isteri dan sebagai seorang anak yang perlu menjalankan tanggungjawab mereka terhadap ibu bapa.

“Mereka juga perlu ingat tentang tujuan utama mereka apabila menjejakkan kaki ke institusi pengajian tinggi (IPT) kerana begitu besar harapan yang diharapkan oleh ibu bapa terhadap mereka.

“Semestinya ibu bapa mengharapkan mereka pulang dengan kejayaan yang mampu membanggakan keluarga sekaligus dapat membantu meringankan tugas dan tanggungjawab yang dipikul oleh ibu bapa mereka selama ini,” ujarnya.

Namun tidak salah sekiranya mahasiswa dan mahasiswi itu ingin berkahwin ketika sedang menuntut di IPT kerana ia mengikut keadaan mereka sendiri. Perkahwinan yang dibina dengan cara yang betul mampu mengubah kehidupan mereka menjadi lebih baik dan mendapat keberkatan dari Allah S.W.T.

“Perkahwinan yang dibina ketika sedang belajar memerlukan komitmen yang besar dan mementingkan keserasian bersama pasangan kerana ini merupakan kunci kebahagiaan di samping mereka perlu sedar bahawa mereka mempunyai cabaran untuk mengimbangi dalam melaksanakan tanggungjawab menjadi suami isteri dan tanggungjawab sebagai mahasiswa.

“Bagi pasangan yang berkahwin ketika di IPT, mereka perlu bijak untuk meluangkan masa dengan satu sama lain kerana kerana ini boleh membawa kepada pergaduhan dan selisih faham. Malah mereka perlu tahu untuk membina keserasian sesama pasangan bagi menjadikan perkahwinan yang dibina bahagia ke ahir hayat,”jelasnya.

Pada masa sama, Asyraf menjelaskan bahawa setiap mahasiswa pada masa ini mampu untuk bernikah kerana mereka mempunyai banyak sumber kewangan. Namun ia dinilai daripada kematangan lelaki itu sendiri.

“Lelaki yang mengambil keputusan untuk berkahwin ketika di IPT perlu sedar tentang tanggungjawab yang bakal mereka pikul. Mereka perlu mengubah persepsi masyarakat bahawa kahwin di usia muda bukanlah sesuatu yang tidak baik sebaliknya menjadikan mereka lebih matang dan menjadi lelaki yang mampu membimbing isteri mereka ke arah kebaikan.

“Di samping itu, perkahwinan di usia muda mampu menjadikan pasangan itu lebih berjaya dalam pelajaran dan kehidupan kerana mereka mempunyai pasangan hidup yang mampu memberi inspirasi dan semangat kepada mereka,”jelasnya lagi.

  • Lebih Fokus Pada Pelajaran

jangan-terlalu-fokus-pada-satu-hal

Berkahwin semasa masih menuntut di IPT bukanlah penghalang untuk seseorang itu berjaya dalam pelajarannya.

Ini dibuktikan oleh seorang penuntut separuh masa Universiti Malaya, Muhammad Razif Abdul Rasyid,27, yang berkerja sebagai penolong pengurus di sebuah syarikat swasta.

Katanya, berkahwin dengan Hawa Rahim, 24 semasa belajar lebih banyak membantu beliau kerana sentiasa menyokong dalam pelajaran.

“Bagi saya berkahwin semasa belajar membuatkan seseorang itu lebih tenang dan mempunyai matlamat hidup yang lebih jelas. Sekiranya ditimpa sebarang masalah isteri adalah tempat saya meluahkan perasaan dan berkongsi pendapat.

“Dari segi pembahagian masa pula, saya dan isteri pastikan kami mempunyai masa yang mencukupi untuk urusan pelajaran dan hal ehwal rumah tangga,”ujarnya.

Selain itu, hidup berumah tangga juga menjadikan dia sebagai seorang lelaki yang lebih rajin dan berdisplin kerana mempunyai tanggungjawab besar menjaga keluarga.

“Saya bersyukur kerana mengahwini wanita yang amat memahami kedudukan saya yang masih menuntut dan masa yang sama juga sebagai ketua keluarga,” katanya