no comments

Ikuti Kisah Wanita Yang Berjaya Menamatkan Perjalanan PhD Beliau Walau Diuji Pelbagai Cabaran

Hari ini kami akan berkongsi kepada anda mengenai kisah perjalanan seorang graduan Ijazah Kedoktoran, Puan Ruhaibah yang melalui bermacam-macam liku sepanjang pengajian beliau di peringkat Doktor Falsafah. Kisah ini telah dikongsikan oleh beliau di sebuah group Facebook bernama Doctorate Support Group, sebagai perkongsian pengalaman untuk mereka yang sedang mengikuti pangajian pascasiswazah. Beliau adalah wanita yang sangat tabah mengharungi pelbagai cabaran sebagai seorang pelajar, isteri dan juga ibu yang bertanggungjawab. Baca kisah beliau selanjutnya yang pasti mengagumkan anda semua.

Saya ingin berkongsi tentang perjalanan saya sepanjang menyiapkan PhD. Mungkin pengalaman ini boleh memberi semangat kepada rakan-rakan yang baru mendaftar atau sedang menjalani pengajian tetapi masih mencari hala tuju PhD atau yang telah berputus asa untuk meneruskan pengajian.

Saya mula mendaftar pada Januari 2010 sebagai pelajar separa masa kerana umur saya yang sudah lebih tidak melayakkan saya untuk mendapatkan biasiswa sepenuh masa. Tawaran biasiswa separa masa adalah untuk Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan jaraknya adalah 12 kilometer daripada pejabat. Akhirnya saya memilih Universiti Sains Malaysia (USM) yang jaraknya 350 kilometer setelah membuat solat istikharah. Majikan saya terpaksa membenarkan kerana saya menolak tawaran biasiswa separa masa jika saya memilih UIAM.

Haji

Pada tahun pertama, segalanya berjalan lancar. Setelah 6 bulan selepas mendaftar saya berjaya menyiapkan proposal. Tetapi pada masa yang sama Allah telah menghantar jemputan haji. Setelah berbincang dengan penyelia, saya membuat keputusan untuk berhenti sebentar untuk menumpukan kepada hal-hal ibadah haji. Apabila pulang dari ibadah haji, saya mengambil masa 4 bulan untuk fokuskan semula kepada pengajian PhD saya.

Pada tahun 2011, saya dapat menumpukan kepada penulisan. Setiap kali saya pergi ke USM untuk tempoh 5 hari saya akan menyiapkan satu bab. Pembacaan dilakukan di Kuala Lumpur. Saya pastikan setiap kali sebelum meninggalkan USM, saya akan menghantar satu bab. Penyelia utama banyak membantu.

Dugaan kedua, apabila anak pertama saya menghadapi masalah di universiti. Berhenti sebentar untuk menyelesaikan urusan anak pertama dan kemudian anak saya berkahwin pada usia 19 tahun. Pada tahun 2012, penyelia saya pergi membuat sabatikal setahun ke luar negara. Pengajian saya masih diteruskan tetapi secara perlahan-lahan walaupun penyelia tiada di Malaysia. Majikan yang menawarkan biasiswa pula dijemput Ilahi. Maka bermulalah dugaan berhadapan dengan majikan-majikan yang menganggap bahawa urusan PhD sebagai urusan peribadi. Namun saya masih berpeluang untuk membuat pembentangan previva dengan bantuan penyelia 2 dan penyelia 3. Alhamdulillah atas bantuan mereka.

Pada tahun 2013 pula saya mendapat cucu pertama, saya berhenti sebentar kerana anak saya masih belajar. Saya terfikir bahawa ini adalah masa untuk anak-anak menimba ilmu kerana perjalanan mereka masih jauh. Kita membuat PhD dalam usia yang sudah banyak, tidak tahu sempat dihabiskan ataupun tidak!!

Pada tahun berikutnya,2014, suami saya telah dimasukkan ke hospital selama sebulan kerana sakit perut. Berulang alik ke pajabat dan hospital sangat memenatkan saya. Akhirnya saya juga dimasukkan ke wad disebabkan kepenatan dan migrane. Selepas hari raya tahun 2014, saya mengadakan majlis perkahwinan untuk anak pertama (yang masih belum dibuat bagi pihak lelaki) dan anak kedua (anak perempuan yang berumur 19 tahun dan masih belajar di universiti). Akhirnya pada 29 Disember 2014 saya dapat menyiapkan 10 salinan dan proses telah selesai pada Februari 2015.

12168284_10208049864271222_1518351838_o

Viva pada Jun 2015. Pemeriksa luar memberi kelulusan kepada saya dengan tahap satu iaitu tanpa sebarang perubahan dan juga perfect score untuk setiap aspek dalam borang penilaian. Pada Julai 2015 saya telah menghantar 2 salinan terakhir. Alhamdulillah, pada September 2015 saya telah mendapat surat Senat.

Semoga kisah pengalaman ini dapat memberikan semangat kepada mereka yang sedang mengikuti pengajian dan mengembalikan semangat bagi mereka yang hampir rebah. Selamat maju jaya!

 

KOMEN ANDA

Tiada Respon

Komen

TENTANG KAMI | PENAFIAN | HUBUNGI | HANTAR ARTIKEL