no comments

19 Persoalan Wajib Dijawab Oleh Pelajar Dan Calon Master / PhD

“Ilmu itu umpama ladang, maka berbanggalah kamu dengan ilmu. Dan jangan sampai kamu kehilangan ladang kebanggaan itu. Ketahuilah! Ilmu tidak akan dapat diperolehi oleh orang-orang yang hanya mementingkan makanan dan pakaian. Ilmu akan datang kepada orang-orang yang hidupnya sederhana. Tuntutlah ilmu sebanyak-banyak! Walaupun terpaksa berkorban dan menderita. Mungkin suatu hari nanti, bila engkau menghadari suatu majlis dan engkau yang memimpinnya, maka engkau akan menjadi kebanggaan majlis itu” – Imam Syafie

Percayalah apabila anda mula menjejakkan kaki di alam pekerjaan, ianya agak sukar untuk anda menyambung semula pengajian walaupun anda bekerja di dalam kampus sekalipun, inikan pula bekerja jauh dari kampus. Tahukah anda berapa ramai pelajar yang belajar secara ‘part-time‘ gagal menamatkan pengajian mereka atau terus berhenti kerana sudah berputus asa? Mungkin perkara ini terjadi atas faktor-faktor yang tidak dapat dielakkan atau terjadi disebabkan tanpa strategi yang betul. 19 persoalan ini wajib dijawab oleh pelajar-pelajar yang berhasrat untuk menyambung pengajian di peringkat Master atau Phd dan juga kepada pelajar yang sedang mengikuti pengajian Master atau PhD.

Mungkin sudah terlebih jauh anda pergi, sehinga terlupa untuk bertanya kepada diri sendiri untuk apa anda belajar hingga ke peringkat Master atau PhD? Mungkin soalan ini mudah dijawab bagi sesetengah pelajar, tetapi mari berfikir baik-baik apakah alasannya? 4 soalan ini mungkin boleh mengejutkan anda daripada lena dan mimpi yang indah semata.

  1. Adakah saya menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi disebabkan oleh permohonan kerja yang sering ditolak?
  2. Adakah kerana terpaksa menyambung pengajian disebabkan oleh suruhan pihak atasan semata-mata?
  3. Adakah kerana saya ingin lari dari beban tugas yang banyak disebabkan sudah bosan dengan kerja yang dibuat sekarang, kemudian menyambung pengajian dengan alasan cuti belajar.
  4. Adakah disebabkan perasaan malu dengan rakan-rakan atau ahli keluarga saya yang mempunyai Master atau PhD dan mengambil keputusan mengikut jejak mereka agar setaraf ?

Seandainya jawapan kepada 4 soalan diatas adalah ‘Ya’, anda lebih baik melupakan hasrat anda sebelum terlewat kerana jawapan ‘Ya’ itu akan menyusahkan diri sendiri, keluarga, penaja atau penyelia anda.

sweet little female latin child studying on desk lasking for help in stress with a tired face expression in children education and back to school concept isolated on white background

Tetapi sekiranya anda telah lama berniat untuk membuat Master atau PhD, lain pula persoalan yang perlu anda tanya kepada diri sendiri. Sekarang cuba anda jawab soalan-soalan bersifat akademik ini.

  1. Bolehkah saya menyesuaikan diri apabila berhadapan dengan rakan-rakan saya yang kebanyakannya mempunyai ijazah kelas pertama, otaknya pintar, ketelitiannya nano, dan rajinnya seperti semut? Sedangkan saya mendapat tawaran membuat Master atau PhD setelah membuat dua kali rayuan kepada Dekan.
  2. Mampukah saya bertahan selama 3++ tahun, dimarah oleh penyelia setiap hari kerana kesilapan saya? Tidak dinafikan saya memang banyak kekurangan, tetapi berilah sedikit peluang kepada saya.
  3. Tidakkah saya berkecil hati apabila penyelia berkata “Awaklah pelajar paling bodoh pernah saya jumpa”? Tetapi keesokan harinya saya terpaksa datang lagi ke biliknya.
  4. Bagaimana sekiranya saya dapati data saya tidak menjadi sedangkan rakan saya yang lain telah siap menulis kertas jurnal keduanya?
  5. Bagaimana pula sekiranya kertas jurnal yang telah kemas ditulis tetapi diconteng-conteng (edit) oleh penyelia dengan tulisan pen merahnya melebihi apa yang saya tulis? Sedangkan rakan-rakan saya telah bersedia menyerahkan tesis dengan 4 kertas jurnal yang semuanya berkualiti 10% teratas dalam bidang-bidang yang dikategorikan oleh ISI.
  6. Tidakkah saya kecewa untuk menerbitkan kertas jurnal pertama walaupun impak faktornya 0.200 sahaja, tetapi setiap penilai (reviewer) memandang rendah terhadap kerja-kerja saya? Sedangkan data didalam kertas-kertas jurnal tersebut juga agak mengelirukan.
  7. Mampukah saya mengawal emosi apabila projek rekaan saya yang telah menjadi diberikan kepada orang lain? Sedangkan sudah setahun saya tidak cukup tidur dan tiada masa yang banyak untuk meluangkan masa bersama keluarga kerana memikirkan projek yang penyelia sendiri tidak tahu dan tidak peduli pada awalnya.

Kekuatan tidak datang dari kemampuan fizikal, tetap ianya datang dari semangat yang tidak pernah mengalah

Selain daripada soalan-soalan diatas, anda juga perlu menjawab 8 lagi soalan yang bersifat kemanusiaan. Luangkan masa anda sebentar untuk menjawab soalan-soalan ini.

  1. Sanggupkah saya menangguh sarapan pagi ke waktu tengahari dan makan tengahari dibawa ke waktu malam disebabkan ingin berjimat? Berjimat kerana terpaksa membayar yuran sendiri.
  2. Bolehkah saya bertahan sekiranya saya terpaksa berada atau tidur didalam makmal kerana membuat kerja untuk penyelia seperti laporan geran, marking tutorial, marking laporan makmal, persiapan persidangan dan sebagainya sedangkan pelajar lain tidak disuruhnya?
  3. Mampukah saya bersabar apabila pelajar lain menabur fitnah, menikam belakang kepada penyelia saya?
  4. Bolehkah saya bertimbang rasa dalam perebutan alat-alat di makmal, apabila tempahan saya dipotong atau dipadam oleh rakan saya sendiri? Sedangkan saya terpaksa berulang-alik ke hospital kerana ada keluarga tersayang sangat memerlukan kehadiran saya disisinya.
  5. Bersabarkah saya dengan kerenah pembantu makmal yang terlalu berkira? Tetapi apabila ada sampel perundingan (consultation) atau berurusan dengan pelajar perempuan, kesemua sampel boleh disiapkan dalam masa sehari sahaja.
  6. Sanggupkah saya apabila selalu mendapat penyelia yang bermasalah termasuk masalah peribadinya dibawa hingga ke dalam makmal? Sedangkan penyelia lain sedang bersiap sedia untuk membawa semua pelajarnya pergi ke persidangan (dan jalan-jalan) di Vancouver.
  7. Bijakkah saya mencipta alasan demi alasan kepada rakan-rakan yang sudah berkerja, bahawa saya tidak dapat menghadiri perjumpaan alumni? Kerana malu pergi menaiki Honda Cup, sedangkan mereka datang dengan menaiki Honda CRV. Pakaian mereka yang hebat, jika dibandingkan dengan saya yang hanya memakai T-shirt Liverpool yang dibeli di sempadan Siam.
  8. Terharukan saya apabila mendapat mesej atau whatsapp dari rakan yang sudah berkerja menunjukkan gambar-gambarnya diambil di Stadium Old Trafford? Sedangkan saya hanya tahu tempat-tempat terdekat sahaja.

Sekiranya anda tabah dan cekal dengan dugaan-dugaan tersebut, anda dialu-alukan mengorak langkah anda ke hadapan. Jangan sesekali anda berputus asa. Selamat maju jaya!

Jika kamu tidak sanggup menahan lelahnya belajar, maka kamu harus sanggup menahan peritnya kebodohan.

Sumber : Aazmin

KOMEN ANDA

Tiada Respon

Komen

TENTANG KAMI | PENAFIAN | HUBUNGI | HANTAR ARTIKEL