5 comments

6 Tips Untuk Pascasiswazah Melanjutkan Pengajian Di UK

6 tips ini sangat bermanfaat untuk mereka yang ingin melanjutkan pengajian ke peringkat pascasiswazah di United Kingdom. Tips ini dikongsi berdasarkan pengalaman dari seorang pelajar iaitu Maryam Nabeelah yang akan melanjutkan pengajiannya ke peringkat PhD di University of Cambridge bermula Oktober 2015. Semoga sukses!

media-picture-2012-08-23-Top

Anda mahukan keseronokan dan cabaran belajar di peringkat sarjana atau PhD? Anda berminat untuk menimba pengalaman tersebut di United Kingdom (England, Wales, Scotland, Northern Ireland)? Langkah pertama yang perlu anda ambil ialah: dapatkan tawaran daripada universiti. Jika anda tak pasti kursus dan universiti mana yang patut dipilih, mungkin anda boleh mengikuti panduan berikut:

1. MULAKAN AWAL, SELEWAT-LEWATNYA 18 BULAN SEBELUM  TARIKH MULA PENGAJIAN

Misalnya, jika anda berhajat untuk memulakan pengajian di peringkat sarjana (MA, MSt, MPhil, MSc, MRes) atau doktor falsafah (PhD, DPhil) pada sesi September/Oktober 2017, mulakan proses mencari, memilih dan memohon sejak awal tahun 2016. Permohonan universiti pula biasanya dibuka setahun sebelum kursus bermula. Mungkin ada yang tanya kenapa awal sangat? kerana banyak perkara yang perlu anda pertimbangkan sebelum memohon.

Tip: Internet ialah alat yang paling penting dalam usaha mencari kursus/universiti yang paling sesuai untuk anda. Bersedialah untuk menghadap skrin komputer berjam-jam demi masa depan anda. Selain itu, jangan takut untuk bertanya kepada pelajar-pelajar, pensyarah, mahupun kakitangan pentadbiran (contohnya graduate secretary setiap jabatan) mengenai kursus yang anda mahu selidiki — gunakan e-mel untuk menghubungi individu yang anda tidak kenal.

2. ALERT DENGAN TARIKH TUTUP PERMOHONAN KURSUS DAN TARIKH TUTUP PERMOHONAN BIASISWA

  • Biasanya, tarikh tutup permohonan kursus adalah 6 bulan hingga setahun lebih awal daripada tarikh mula pengajian. Anda perlu merujuk laman sesawang universiti yang berkenaan untuk tarikh tutup masing-masing.
  • Tarikh tutup permohonan biasiswa (Malaysia, antarabangsa, atau peringkat universiti) berbeza-beza. Pastikan anda peka dengan semua tarikh tutup yang perlu dikejar

3. KENALPASTI ILMU DAN LATIHAN YANG ANDA PERLUKAN

Untuk peringkat sarjana (master)

Ada dua kaedah pengajian yang ditawarkan di kebanyakan universiti: (i) taught master’s degree (MA, MSt, MSc), yang mungkin dikenali sebagai master-by-coursework di Malaysia; dan (ii) research master’s degree (MPhil, MRes), atau sijil sarjana yang diraih melalui penyelidikan sepenuhnya. Program MPhil dan MRes akan mengambil masa yang lebih lama, lebih kurang 2 tahun; manakala MA, MSt dan MSc hanya memakan masa setahun. Umumnya, kelayakan yang diperlukan untuk diterima masuk ke program MPhil dan MRes lebih tinggi — maknanya, anda perlu membuktikan bahawa anda sudah bersedia untuk berdikari dalam menyelidik tajuk yang diminati.

Walau bagaimanapun, sekalipun anda memilih kaedah master by research, biasanya anda masih bebas menghadiri sebarang kuliah yang ditawarkan oleh jabatan/fakulti/universiti sepanjang pengajian, untuk menimba lebih banyak ilmu serta merebut peluang berbincang dan bertukar-tukar pendapat dengan para pensyarah dan pelajar lain.

Sebenarnya program taught master juga melibatkan komponen penyelidikan, dalam bentuk dissertation (yang panjangnya sekitar 10,000 hingga 20,000 patah perkataan, bergantung pada kehendak kursus dan jabatan). Di UK, terdapat tiga penggal pengajian (terms) dalam setiap tahun akademik. Untuk pelajar taught master, dua penggal yang pertama akan diisi dengan menghadiri kuliah atau seminar yang ditawarkan (dan mungkin akan ada peperiksaan), kemudian penggal terakhir dikhaskan untuk penulisan dissertation. Tajuk kajiandissertation akan dipilih oleh pelajar dan dibincangkan bersama penyelia, biasanya di akhir penggal pertama/awal penggal kedua.

Untuk peringkat PhD (yang dikenali sebagai DPhil di Universiti Oxford)

tempoh dan sistem pengajian di UK umumnya selaras: masa yang diberi ialah 3 tahun (dan boleh dilanjutkan menjadi empat jika ada kesulitan, tetapi biasanya badan-badan biasiswa hanya akan menanggung pengajian calon PhD selama 3 tahun sahaja).

4. KELAYAKAN SEBELUM MEMBUAT PERMEMOHONAN

Dalam kata lain, dokumen-dokumen serta sijil-sijil apa yang perlu anda sediakan dan kemukakan untuk membuktikan kepada admissions committee bahawa andalah calon yang mereka mahukan. Anda mesti mempersiapkan perkara-perkara berikut:

  1. Kelayakan akademik. Sekurang-kurangnya, perlu ada ijazah sarjana muda 2:1 (second upper, atau *rasanya* CGPA 3.5 dan ke atas), tapi ketahuilah bahawa untuk kursus-kursus yang oversubscribed (dimohon oleh sangat ramai pelajar), ijazah first class (*rasanya* CGPA 3.7 ke atas) akan diletakkan sebagai syarat kelayakan minimum. Ingat, gred kelayakan yang diiklankan oleh universiti itu ialah gred minimum. Usah takut untuk mengejar impian, tetapi ingatlah, anda bukan satu-satunya pelajar yang memohon, permohonan anda perlu bersaing dengan permohonan-permohonan lain. Sila rujuk laman sesawang universiti/fakulti yang berkenaan untuk maklumat kelayakan yang lebih tepat.
  2. Statement of purpose atau personal statement. Untuk program pascasiswazah berasaskan kursus (taught degrees), pemohon mesti mengarang sebuah esei, sekitar 500 patah perkataan hingga satu muka A4. Dalam esei ini, anda berpeluang untuk menjelaskan: apa yang anda harapkan daripada kursus tersebut; mengapa anda memilih kursus, jabatan, dan universiti tersebut; mengapa anda individu yang serasi dengan kursus yang ditawarkan; kelebihan diri yang boleh membantu anda menyerlah dalam kursus tersebut; serta perkara yang mendorong anda untuk menjalani kursus tersebut. Ertinya, personal statement ini ialah ruang terbaik untuk anda mempersembahkan personaliti dan cara berfikir anda kepada panel penilai — selain daripada melihat kebolehan dan potensi akademik anda berdasarkan sijil akademik, mereka juga perlu menilai “keikhlasan” dan kesungguhan pemohon. Perihal personal statement ini, boleh dijadikan satu lagi post, tapi rasanya sudah banyak tips yang dikongsi oleh pelajar-pelajar lain di internet.
  3. [BUKAN SEMUA] Kertas cadangan penyelidikan (research statement atau research proposal). Bagi kursus-kursus berasaskan penyelidikan (MPhil, MRes, PhD), pemohon perlu melampirkan kertas cadangan penyelidikan yang menjelaskan secara ringkas perkara-perkara berikut: (i) tajuk cadangan (ii) kesimpulan tinjauan kajian terdahulu [literature review] (iii) sudut-sudut lapangan yang masih belum dikaji [research gaps] (iv) kepentingan kajian yang dicadangkan (v) kaedah penyelidikan (vi) sumber-sumber primer yang bakal digunakan, jika ada. Ada jabatan yang mengehadkan kertas cadangan penyelidikan kepada 500 perkataan sahaja, ada yang meminta kertas cadangan sepanjang dua muka A4, ada yang mahukan 6 muka (tak termasuk bibiografi ringkas). Maka, anda perlu mahir meringkaskan buah fikiran anda, seringkas-ringkasnya. Bab kertas cadangan penyelidikan ini pun, panjang ceritanya, dan cara/format penulisannya tertakluk pada kehendak jabatan masing-masing.
  4. Surat saranan (letter of recommendation atau letter of reference) daripada dua atau tiga orang pensyarah anda. Kenalpasti pensyarah-pensyarah yang mengenali anda, baik dari sudut peribadi mahupun dari sudut kebolehan akademik. Pensyarah-pensyarah (referees) ini perlu menulis surat yang bersaksi/menceritakan perihal pengalaman dan potensi anda selari dengan kursus yang anda mohon. Anda ada kelebihan jika referee anda merupakan seorang ilmuwan/profesor terkenal dalam bidang yang anda mohon, kerana dunia akademik meletakkan kepercayaan yang tinggi pada kesaksian ilmuwan/pengkaji yang berpengalaman dalam bidang masing-masing. Akan tetapi, tiada guna pun anda meminta surat saranan daripada pensyarah ternama, sekiranya beliau tidak mengenali anda sebagai seorang pelajar. Tak terkenal tak mengapa, yang penting, referee mesti mampu menggambarkan kebolehan anda dengan terperinci dalam sepucuk surat. Permohonan universiti di UK secara umumnya menggunakan sistem atas talian, dan surat saranan juga biasanya perlu dihantar sendiri oleh referee melalui e-mel, terus kepada universiti (untuk menjamin ketelusan kesaksian yang dikemukakan).
  5. [BUKAN SEMUA] Resume/curriculum vitae (CV). Sesetengah universiti menghendaki pemohon melampirkan resume atau CV dalam permohonan.
  6. [BUKAN SEMUA] Contoh penulisan akademik (writing samples). Jika universiti atau jabatan meminta contoh tulisan akademik, anda perlu mencari hasil-hasil tulisan anda (daripada assignments dan sebagainya) yang terdahulu, biasanya jabatan akan memaklumkan berapa panjang sampel yang dikehendaki. Dan esei/sampel tulisan tersebut mestilah kerja yang sudah ditanda/diberi markah oleh pensyarah anda di peringkat pengajian sebelum ini.
  7. Bukti kemahiran berbahasa Inggeris, maknanya sijil IELTS atau TOEFL. Bersedialah untuk menduduki salah satu ujian bahasa ini sesegera mungkin, dan pastikan dahulu markah minimum yang digariskan oleh universiti dan jabatan. Untuk IELTS, markah minimum yang paling selamat ialah band 7.0 hingga 7.5 (band paling tinggi ialah 9) dalam semua komponen ujian (reading, writing, listening, speaking), dan juga sebagai band purata keseluruhan ujian. Biasanya anda boleh mengabaikan bahagian sijil ujian bahasa ketika melengkapkan dan menghantar borang permohonan dan menduduki IELTS atau TOEFL selepas memohon, tetapi lambat laun anda perlu juga mengemukakan keputusan IELTS atau TOEFL kepada universiti apabila sudah mendapat tawaran bersyarat (conditional offer).

kamus-online

Kemahiran berbahasa ialah kunci utama kepada pemahaman dan proses luahan idea setiap penyelidik. Kuasailah bahasa Inggeris jika mahu menyelidik dengan berkesan, terutamanya jika anda seorang pelajar di UK.

Pengajian pascasiswazah, khasnya juzuk penyelidikannya, bersifat tekstual, apatah lagi untuk pelajar bidang Sastera dan Kemanusiaan.

5. PILIH KURSUS DI UNIVERSITI YANG PALING SESUAI DENGAN ANDA

Ustazah Firuz Akhtar ada menulis sebuah panduan ringkas yang baik bagi pelajar-pelajar yang masih mencari universiti yang paling sesuai. Di sini saya kongsikan cara memilih, berdasarkan pengalaman saya sendiri.

  1. Kenalpasti lapangan yang anda minat. Semasa memilih kursus di peringkat MA dahulu, saya sudah tahu lapangan sejarah yang saya mahu kuasai, iaitu sejarah Yahudi di zaman moden (bukan zaman ancient, classical, atau medieval). Tetapi, saya masih belum tahu sejarah kawasan geografi mana yang saya mahu dalami. Maka taught master ialah pilihan yang paling sesuai untuk saya, kerana saya memerlukan pendedahan (di dalam kuliah) kepada sejarah Yahudi secara umum, dan sejarah Yahudi moden (di seluruh dunia) secara khusus.
  2. Kenalpasti pilihan-pilihan yang ada. Alhamdulillah, kerja survey kursus saya dimudahkan dengan panduan yang disediakan di laman British Association for Jewish Studies (BAJS). BAJS menghimpunkan maklumat tentang semua kursus pengajian tinggi yang berkait dengan Jewish Studies, yang ditawarkan di United Kingdom serta di institusi-institusi lain. Ketika saya di semester akhir pengajian Sejarah di UIA, saya telah mencetak dan membukukan panduan ini, dan membandingkan kursus-kursus Jewish Studies yang ada di setiap universiti. Mungkin ada panduan sebegini untuk bidang anda, mungkin tidak. Tanyalah kepada ahli-ahli di dalam bidang yang anda minati, dan jika anda tak kenal sesiapa, mulakan dengan Google.
  3. Mohon. Berdasarkan pengamatan dan perbandingan saya, akhirnya saya memilih untuk menghantar permohonan bagi lima kursus: (1) MA Jewish History, UCL (2) MA Israeli Studies, SOAS (3) MSt Jewish Studies, Oxford (4) MA Jewish Studies, Manchester dan (5) MA Jewish Studies, King’s College London. Saya mendapat tawaran untuk kesemuanya kecuali MSt Jewish Studies, Oxford.

    Tip: Hantar permohonan sebanyak mungkin. Anda yakin atau tak yakin, anda minat atau kurang minat, mohonlah selagi kursus tersebut memenuhi keperluan asas matlamat anda. Kita merancang, tapi Allah lebih tahu apa yang terbaik. Dahulu, saya sangka MSt Jewish Studies di Oxford ialah pilihan yang terbaik, tetapi setelah gagal mendapat tawaran tersebut, saya terpaksa menilai kembali pilihan-pilihan yang ada. Akhirnya saya memilih MA Jewish History di UCL — yang merupakan pilihan terakhir saya! — dan alhamdulillah, pilihan itulah yang paling tepat.

  4. Pilih yang paling sesuai. Setelah mempertimbangkan keperluan, kepakaran dan pengkhususan setiap jabatan, dan peluang biasiswa, saya memilih untuk menjalani MA Jewish History di University College London (UCL).

Tip: Apabila mencari dan membandingkan maklumat daripada laman rasmi universiti, jangan terlampau terkesan dengan persembahan maklumat/reka bentuk laman setiap universiti — umumnya maklumat yang dibekalkan (mengenai struktur kursus, gaya pengajian, suasana pembelajaran, dan kehidupan di bandar/tempat tersebut) sangat jelas, tetapi banyak lagi sisi universiti/jabatan tersebut yang anda takkan dapat tahu melainkan dengan bertanya kepada kakitangan/pensyarah/pelajar di situ.

Sekali lagi, internet ialah sahabat baik anda dalam hal ini — cuba sertai forum-forum pelajar [contohnya The Grad Cafe atau The Student Room], atau hubungi kenalan-kenalan yang pernah atau sedang belajar di universiti yang anda minati. Anda tak perlu menyandarkan pilihan anda kepada pandangan peribadi mereka, tetapi pengalaman sebenar penting untuk dijadikan panduan memilih universiti.

Uni websitesVibe yang anda rasakan daripada melayari laman sesawang universiti takkan dapat menggambarkan pengalaman sebenar menjadi pelajar di universiti tersebut.

Apakah ciri-ciri yang wajar dipertimbangkan semasa memilih universiti dan kursus?

Ciri-ciri dalaman (yang membezakan kursus A dengan kursus B). Inilah perkara-perkara yang perlu anda utamakan dalam memilih:

  1. Prestasi dan reputasi universiti secara keseluruhan. Umumnya, universiti yang mempunyai reputasi yang lebih tinggi di kalangan ahli akademik akan menawarkan kepakaran, struktur dan kemudahan belajar yang lebih baik. Kebanyakan biasiswa Malaysia meletak syarat pemilihan universiti yang tinggi kedudukannya dalam penilaian-penilaian seperti yang diterbitkan oleh Times Higher Education atau QS World University Rankings contohnya, jadi perihal reputasi ini adalah sesuatu yang anda takkan dapat abaikan. Prospek kerjaya juga dikatakan agak cerah bagi pelajar-pelajar lulusan universiti-universiti terbaik.
  2. Reputasi jabatan dan kursus yang ditawarkan. Walaupun nama dan prestij universiti boleh membuka pelbagai pintu kerjaya dan peluang di masa hadapan, tetapi hakikatnya kekuatan setiap jabatan dan kursus yang mereka tawarkan adalah kriteria yang perlu diutamakan. Banyak parameter penilaian ranking universiti yang mengutamakan pencapaian universiti dalam pengajaran di peringkat sarjana muda, jadi apabila anda mencari kursus yang sesuai untuk pengajian pascasiswazah, anda perlu lebih teliti mengkaji kepakaran dan kemudahan yang disediakan oleh tiap-tiap jabatan/fakulti untuk pelajar-pelajar pascasiswazahnya. Pencapaian universiti dalam lapangan penyelidikan juga wajar dipertimbangkan.
  3. Kepakaran tenaga pengajar dan penyelidik yang ada. Bagi peringkat pascasiswazah, khususnya bagi pelajar research degrees, inilah kriteria paling penting dalam memilih kursus dan universiti. Di peringkat ini, anda sudah mengkhususkan perhatian dan masa anda kepada satu lapangan yang kecil, maka mencari dan mempunyai penyelia yang berkepakaran dalam bidang kajian anda sangat penting.

Kriteria luaran (perkara sampingan yang turut memberi kesan terhadap pengalaman belajar):

  1. Kos hidup. Contohnya, kadar sewa rumah/bilik (yang merupakan perbelanjaan terbesar setiap bulan) di UK berbeza-beza mengikut kawasan. London dan Edinburgh terkenal dengan kos sara hidup yang tinggi. Perkara ini mudah sahaja selesai sekiranya anda berjaya mendapatkan biasiswa penuh, terutama daripada badan-badan Malaysia yang memberi elaun sara hidup mengikut garis panduan JPA. Tetapi jika anda mempunyai tanggungan lain, atau memerlukan wang lebih untuk kos perjalanan dan buku, anda perlu rajin mencari bursaries dan minor scholarships dari pihak universiti dan sebagainya.
  2. Kawasan persekitaran, budaya. Anda mahu menyewa di kawasan yang lebih berbilang kaum (biasanya di bandar) atau yang penduduknya tidak berbeza latar belakang? Anda lebih gembira tinggal di kampung, pekan kecil atau bandar? Dulu, saya fikir saya lebih suka belajar di bandar kecil, atau bandar universiti seperti Oxford dan Cambridge. Saya fikir, kalau boleh saya tak mahu belajar/hidup di London, kerana kosnya mahal, dan persekitarannya yang sibuk. Setelah memilih UCL dan menyewa di West-Central London, saya sedar bahawa saya sememangnya lebih gemar hidup di bandar yang penuh dengan manusia dan bangunan. Setiap kali saya melawat bandar atau pekan lain di UK, saya akan merindui hiruk-pikuk dan kemudahan yang ada di London. Walaupun saya tak dapat berjimat atau menyimpan wang elaun bulanan seperti pelajar-pelajar lain yang tinggal di kawasan lain, tapi saya bersyukur, bahagia dan sangat berpuas hati dengan pengalaman hidup di London. Ada kenalan yang belajar di Leeds menceritakan betapa bosannya hidup di sana [“…sampai rasa nak menangis!”] kerana kedai-kedai ditutup awal, jam 6 petang. Ada pula orang yang sukakan persekitaran yang penuh hijau nyaman, dan dikelilingi alam sekitar. Anda bagaimana?
  3. Kemudahan hidup. Bagi yang Muslim, perkara yang sering dirisaukan ialah makanan halal serta masjid dan komuniti Muslim setempat. Kawan saya di Durham jarang sekali dapat menjamah hidangan ayam atau daging, kerana tiada daging halal dijual di Durham. Kalau mahu, dia perlu pergi ke bandar lain yang terdekat, York. Anda takkan mati tanpa daging dan ayam inshaAllah, tapi apabila teringin, haruslah sanggup berjalan jauh untuk mendapatkan makanan idaman yang halal. Di London, alhamdulillah sangat mudah mendapatkan bahan mentah dan makanan siap yang halal. Masyarakat Muslim di UK bukan sedikit, jadi inshaAllah anda tidak akan menghadapi masalah untuk mencari masjid (terutama untuk kemudahan solat Jumaat) dan sebagainya, walaupun prasarana yang ada tidak sama seperti yang ada di Malaysia.

Durham, 18 December 2013Durham, bandar zaman pertengahan yang didiami oleh orang-orang tua serta para pelajar Durham University.

Yang paling penting, tak kiralah di mana pun universiti pilihan anda, pastikan anda mempunyai sistem sokongan yang teguh. Ahli keluarga, sahabat-sahabat, rakan serumah dan jiran-jiran, kenalan-kenalan warganegara Malaysia yang lain, semuanya berperanan mengimbangi susah senang yang bakal anda hadapi sepanjang tempoh belajar.

6. PEMBIAYAAN YURAN PENGAJIAN SERTA PERBELANJAAN SEPANJANG TEMPOH BELAJAR

Seperti proses permohonan untuk menyertai kursus universiti, permohonan biasiswa juga “susah” kerana anda perlu bersaing dengan beratus-ratus (dan kadangkala beribu-ribu) pelajar lain untuk mendapatkan tempat dan dana yang terhad. Ada biasiswa yang proses pemilihannya lebih mencabar daripada yang lain, tetapi Allah jualah yang menetapkan rezeki kita semua. Jadi, hantar sajalah permohonan untuk semua biasiswa yang anda layak memohon. Sekali lagi, Ustazah Firuz ada berkongsi tip-tip permohonan biasiswa di blognya, dan banyak lagi sebenarnya blog dan laman sesawang yang menghimpunkan maklumat biasiswa dalam dan luar negara. Sejujurnya, bagi pelajar bidang Kemanusiaan seperti saya, pilihan biasiswa yang ditawarkan agak terhad berbanding dengan pilihan yang ada untuk bidang Sains Tulen, Ekonomi serta Undang-Undang (antara lainnya).

Selamat maju jaya!

KOMEN ANDA

5 Komen

  1. wamadad
  2. amirul
  3. Maaitah bte samsudin

Komen

TENTANG KAMI | PENAFIAN | HUBUNGI | HANTAR ARTIKEL