no comments

10 Tips Membaca Artikel Jurnal

Proses pengajian akademik tidak pernah terlepas daripada fasa menelaah artikel-artikel jurnal yang berkaitan dengan tajuk dikaji. Proses ini amat penting di dalam memahami konteks dan konsep yang berkaitan dengan kajian yang dijalankan; tidak kira di peringkat sarjana, kedoktoran atau menjalankan penyelidikan sebagai ahli akademik. Namun begitu, proses ini boleh memakan masa yang lama dan memberikan impak yang kecil jika dijalankan tanpa proses perancangan yang baik. Pemilihan artikel dan kaedah pembacaan yang tidak sesuai merupakan faktor utama menyumbang kepada produktiviti yang rendah.

Proses pembacaan jurnal merupakan satu proses aktif yang memerlukan penyelidik sentiasa memahami, mengkaji dan menghubungkait idea dan dapatan yang dibincangkan. Proses bacaan ini juga melibatkan proses tapisan bahan bacaan yang bergerak serentak, dimana penyelidik mempunyai kebebasan untuk berhenti membaca sekiranya mendapati konteks kajian jurnal tersebut adalah diluar bidang yang menjadi tumpuan penyelidik.

Berikut adalah perkongsian sepuluh tips membaca jurnal mengikut pengalaman dan hasil bacaan saya:

1. Satu artikel jurnal mempunyai beberapa segmen utama iaitu TAJUKABSTRACTPENGENALANKAJIAN LITERATURKAEDAH PENYELIDIKANHASIL PENYELIDIKANJADUAL & RAJAHPERBINCANGAN dan KESIMPULAN. Penyelidik perlu mempunyai idea jelas mengenai maklumat yang dicari kerana ini menjadikan proses pembacaan lebih objektif dan produktif.

2. Proses pembacaan jurnal tidak wajib dilakukan secara kronologi (atau mengikut urutan) segmen, melainkan artikel itu merupakan sangat tepat dan berguna dengan konteks penyelidikan. Pembacaan mengikut kronologi ini mengambil masa yang lama dan memberi impak kecil jika artikel yang dibaca tidak menyumbang banyak kepada konteks kajian yang dijalankan.

3. Proses bacaaan perlu dimulakan dengan TAJUK kerana tajuk memberi gambaran awal mengenai kandungan penulisan dan hubungkait dengan kajian penyelidik. Sekiranya tajuk itu tidak bersesuaian, maka bahan itu boleh diketepikan untuk tujuan penyelidikan ini dahulu.

4. Proses bacaan boleh diteruskan dengan membaca ABSTRAK iaitu rumusan mengenai kajian dan hasil yang ditemui. Ini memberi gambaran sedikit mendalam, ataupun sambungan ‘kisah’ seterusnya daripada TAJUK (point terdahulu) mengenai jurnal tersebut.

5. Selepas itu, saya lebih gemar terus ke KESIMPULAN bagi memahami hasil kajian yang telah dijalankan. Di sini, penyelidik harus sentiasa menghubungkait dengan kajian yang sedang dijalankan.

6. Hasil dapatan jurnal itu boleh difahami melalui pembacaan JADUAL & RAJAH yang dilampirkan kerana ini merupakan rumusan terbaik secara grafik bagi data-data yang dikumpulkan.

7. Selepas itu penyelidik boleh membaca KAJIAN LITERATUR sekiranya berminat untuk memahami hasil kajian yang berkaitan dan mungkin memberi lebih idea mengenai bahan-bahan jurnal yang sesuai untuk dibaca selepas ini.

8. Seterusnya, penyelidik boleh membaca PENGENALAN yang memberikan pendahuluan dan latar belakang kajian jurnal tersebut. Secara kebiasaannya, pengenalan ini sangat asas namun masih sangat membantu secara fundamental.

9. Kemudian, penyelidik boleh kembali kepada HASIL PENYELIDIKAN dan PERBINCANGAN bagi mengkaji hubungkait idea dan ulasan penulis mengenai kajian yang telah dijalankan.

10. KAEDAH PENYELIDIKAN merupakan bahagian terakhir yang saya baca dan hanya dibaca sekiranya kaedah yang dijalankan berkaitan dengan kaedah penyelidikan yang sedang dijalankan. Ini amat penting bagi proses pengulangan kajian atau penambahbaikan kaedah yang sedang dirangka.

Tips-tips yang saya amalkan ini membentuk satu proses pembacaan jurnal secara tersusun dan memudahkan pemahaman saya terhadap manuskrip yang diterbitkan di jurnal mahupun persidangan. Namun, kaedah ini bukan suatu standard dalam proses pembacaan jurnal dan penyelidik sentiasa boleh menambahbaik dalam membentuk kaedah pembacaan yang paling sesuai mengikut keselesaan sendiri. Diharap perkongsian sepuluh tips ini membantu para penyelidik menambahbaik proses pembacaan jurnal disamping meningkatkan produktiviti dalam menjalankan aktiviti penyelidikan.

 

Sumber Mohamad Mahathir Bin Amir Sultan

Dari Team MPWS

KOMEN ANDA

Komen

TENTANG KAMI | PENAFIAN | HUBUNGI | HANTAR ARTIKEL